
KOSMETIK dan artis bagaikan aur dengan tebing. Pastinya kosmetik amat diperlukan untuk mengindahkan lagi penampilan seseorang artis.
Tetapi senario hari ini, artis tidak hanya menjadikan kosmetik sebagai salah satu barangan wajib yang harus dioles pada wajah setiap hari bahkan satu bisnes yang mampu menjamin masa depan.
Tidak kira di luar negara mahu pun dalam negara, sudah ramai artis memberanikan diri mengeluarkan sendiri rangkaian produk kecantikan berasaskan jenama mereka sendiri.
Namun, bukan semua artis mampu untuk menceburi perniagaan berasas kecantikan memandangkan kos yang harus dikeluarkan bukan sedikit tetapi mencecah ratusan ribu ringgit, dan ada yang sehingga mencecah jutaan ringgit. Jika tersilap langkah, wang yang dilabur akan lebur begitu sahaja.
Terbaru, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza telah melancarkan rangkaian produk kecantikannya di bawah jenama SimplySiti.
Selepas kejayaan demi kejayaan yang diraih setelah 15 tahun bergelumang dalam dunia seni, kini merupakan masa yang cukup sesuai untuk Siti melebarkan lagi sayap perniagaannya.
Katanya pada majlis pelancaran produknya itu, dia sememangnya meminati bidang kecantikan sejak menceburi dunia hiburan. Malah, bergelar seorang artis membuatkannya lebih peka dalam aspek kecantikan diri.
"Saya keluarkan produk ini sebab saya minat bidang kecantikan. Bukan sekadar nama saya sahaja ada pada produk ini tetapi saya memberi komitmen 120 peratus dalam penghasilan SimplySiti.
"Boleh dikatakan saya terlibat secara keseluruhannya. Bahkan saya juga menjadi bahan uji kaji sebelum produk ini layak berada di pasaran. Maknanya, saya mencuba sendiri produk sebelum menjualnya kepada orang ramai," tuturnya.

Akui Siti secara jujur, bidang perniagaan itu juga bukan sahaja kerana minat tetapi sebagai jaminan untuk masa depannya andai dia tidak lagi berada di pentas hiburan.
"Memang saya keluarkan produk ini untuk masa depan sendiri. Saya betul-betul serius dengan apa yang saya lakukan dan saya berbangga kerana sebelum pelancaran, produk ini telah pun terjual di rangkaian farmasi Watson.
"Lebih menggembirakan, respons yang diterima daripada pembeli amat bagus. Jualan juga melebihi daripada apa yang disasarkan sebelum ini," ujarnya.
Selain untuk berkongsi rahsia kecantikan bersama peminat, Siti juga menggunakan peluang mempromosikan SimplySiti ke seluruh negara sebagai jalan untuknya bertemu dengan peminat.
"Perniagaan saya bukan berasas daripada jualan langsung, saya mahu semua orang mampu gunakan produk SimplySiti. Saya tidak mahu menghadkan penjualan produk ini.
"Bagi menjayakan produk dan jenama SimplySiti saya akan sibuk sepanjang tahun untuk promosi dan bertemu dengan peminat. Sungguhpun begitu, saya masih lagi menyanyi seperti biasa. Cuma kini, saya semakin sibuk dan banyak perkara yang harus saya beri fokus," katanya.
Produk SimplySiti yang dikeluarkan menerusi SimplySiti Sdn. Bhd. telah bekerjasama dengan syarikat penyelidikan estetika kecantikan dari Korea. Menggunakan teknologi nano, SimplySiti tampil dengan rangkaian produk penjagaan kulit seperti SimplySiti C Bright, SimplySiti New Age dan SimplySiti Acne Solution.
Bagi rangkaian kosmetik SimplySiti, ia menampilan rangkaian wajah sempurna, rangkaian solekan mata SimplySiti 'Mata Bercahaya' dan bibir SimplySiti 'Khas Untuk Bibir' serta bedak kompak.


No comments:
Post a Comment